suria

Bajet 2012:Had Skim Rumah Pertamaku Dinaikkan Kepada RM400,000

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mencadangkan supaya had maksimum harga rumah dalam Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Penambahbaikan itu boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Jan 2012, katanya semasa membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Najib berkata kerajaan sebelum ini telah melancarkan skim berkenaan pada Mac 2011 bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan perubahan ini bagi menambahbaik skim berkenaan.

Beliau berkata kerajaan juga sudah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakanperumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.

Katanya, bagi tahun 2012, sebanyak 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja, Klang.

"Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju," katanya.

Misalnya, katanya, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga RM150,000 berbanding harga pasaran RM220,000.

Najib berkata kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.

Beliau berkata bagi melindungi pembeli rumah yang berisiko tidak siap atau lewat disiapkan, kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual.

Katanya, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan dan pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina.

Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah bernilai RM600,000 dan ke bawah.

Katanya, berikutan ramai lagi rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah, Program Perumahan rakyat (PPR) akan diteruskan dengan membina lebih 75,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10.

Bagi tahun 2012, sebanyak RM443 juta diperuntukkan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit dimiliki.

Najib berkata Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk membina 10,000 unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012.

"Kos rumah yang bernilai RM65,000 ini akan dijual RM45,000 sahaja iaitu bagi setiap unit rumah diberi subsidi kerajaan sebanyak RM20,000," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang untuk terus melaksanakan Program Pemulihan Rumah Terbengkalai pada tahun 2012 dengan peruntukan sebanyak RM63 juta untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Selain itu, sebanyak RM40 juta pula diperuntukkan untuk membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta, katanya.

Golongan eskpatriat, yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang berjumlah sebanyak 41,000 orang dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka untuk pinjaman perumahan.

Beliau berkata pelaksanaan ini sama seperti warga negara Malaysia, selain untuk menyediakan suasana kondusif bagi menggalakkan eskpatriat terus berkhidmat di negara ini.

Najib berkata kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membaik pulih rumah golongan nelayan yang daif agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas. -BERNAMA

Artikel Lain