Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan migran menjadi semakin licik apabila Malaysia dijadikan lokasi transit untuk menjalankan kegiatan itu meskipun tanpa perlu memasuki pintu masuk utama negara.Perkara itu didedahkan oleh Ketua Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohd Zulfekar Ahmad yang menyifatkan ia adalah satu trend baru bagi kegiatan berkenaan selain aktiviti penyeludupan dadah. “Aktiviti ini dipercayai dilakukan oleh sindiket antarabangsa malah turut melibatkan rakyat Malaysia. Mereka masih boleh menjadikan negara ini sebagai transit dengan hanya melalui penghubung penerbangan (connecting flight).“Ini mungkin lebih memudahkan kegiatan itu kerana Malaysia bukan destinasi akhir mereka tetapi sebaliknya adalah negara-negara lain seperti di Eropah, Kanada dan Australia,” katanya kepada mStar Online, Rabu.Mohd Zulfekar bagaimanapun berkata, trend baru itu sukar dikesan berikutan ia hanya melibatkan negara asal migran dan negara ketiga.“Namun Malaysia masih dijadikan negara pilihan bagi sindiket penyeludupan migran sama ada sebagai transit atau mengupah rakyat tempatan untuk menjadi penyeludup."Imigresen mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa di United Kingdom dan Australia bagi perkongsian maklumat serta menangani isu seumpama ini,” katanya.Dalam pada itu, katanya, unit penguat kuasa Imigresen KLIA pada bulan pertama tahun ini sahaja mencatatkan sebanyak dua kes penyeludupan migran.“Bagi kes pertama, penyeludup merupakan warga Singapura yang menyeludup keluar seramai tiga orang warga China ke Eropah melalui Malaysia menggunakan pasport palsu Singapura,” katanya.Mohd Zulfekar berkata, kes kedua pula melibatkan warga tempatan yang didakwa menyeludup tiga warga China menggunakan pasport palsu Malaysia.Penyeludup bagaimanapun tidak menjadikan Malaysia sebagai transit namun sebaliknya melalui Singapura untuk mendapatkan empat migran dari China.“Mereka di seludup menggunakan pasport Malaysia yang dipalsukan untuk masuk ke Tehran (ibu negara Iran), dipercayai sebagai transit sebelum ke Eropah,” katanya lagi.Menurut Mohd Zulfekar, kes pertama telah selesai manakala kes kedua melibatkan penyeludup warga tempatan itu masih dalam peringkat perbicaraan.“Dua kes itu menjadikan sebanyak 10 kes penyeludupan migran yang dicatatkan oleh unit penguat kuasa Imigresen KLIA sejak Januari 2011.“Berdasarkan siasatan, semua kes dipercayai bertujuan untuk menghantar migran bagi mendapatkan pekerjaan di negara-negara lain,” katanya.Kesemua kes penyeludupan migran didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.