KUALA LUMPUR: Sebanyak 694 tangkapan kes pemerdagangan orang telah dilakukan agensi penguatkuasaan dari 2008 hingga 31 Mei lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata daripada jumlah itu, 518 (75 peratus) tangkapan adalah rakyat Malaysia, manakala selebihnya, 176 (25 peratus) warganegara asing. Antara agensi penguatkuasa yang terlibat dalam tangkapan tersebut ialah polis, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja, katanya menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg.Menjawab soalan tambahan Dayang Madinan, Lee berkata kerajaan sentiasa berusaha membanteras kes pemerdagangan manusia. "Antara usaha yang dilaksana kerajaan adalah melalui pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mengenakan penalti terhadap kesalahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kesalahan," katanya. -BERNAMA