BANTING: Polis memberkas seorang pembantu rumah dan suaminya, kedua-dua warganegara Indonesia, dan berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang diculik dari rumah keluarga angkatnya di Skudai, Johor Ahad lepas.Timbalan Ketua Polis Kuala Langat DSP Rizani Che Ismail berkata berdasarkan maklumat, polis menahan pembantu rumah berusia 24 tahun kira-kira 3.30 petang semalam sebelum menahan suaminya yang bekerja sebagai buruh berusia 47 tahun dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Seri Jenjarum dekat sini. "Polis turut menyelamatkan bayi berkenaan yang berada di dalam rumah itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, Selasa.Beliau berkata polis belum dapat mengenal pasti motif penculikan bayi itu.Katanya anak angkat kepada sepasang suami isteri itu dilaporkan diculik pembantu rumahnya kira-kira pukul 6 pagi dari rumah mereka di Taman Impian Emas, Skudai, Johor sebelum dikatakan dilarikan ke Klang."Kejadian itu disedari oleh anak kandung pasangan itu berusia sembilan tahun yang melihat adik angkatnya dilarikan oleh pembantu rumah itu dengan menaiki sebuah teksi," katanya.Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat ibu angkat mangsa kira-kira pukul 10.50 pagi di IPD Johor Baharu Utara Ahad lepas dan siasatan terhadap kes itu mengesan bayi itu dilarikan ke Klang.Katanya IPD Kuala Langat yang menerima maklumat berhubung kes itu menubuhkan pasukan penyiasat khas bagi mengesan penculik itu.Beliau berkata siasatan mendapati pembantu rumah itu telah menetap selama setahun di negara ini dan bekerja selama empat bulan dengan majikannya itu sebelum melarikan bayi itu.Rizani berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang daripada jagaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. -BERNAMA