suria

Tindakan Protes Berjalan Lancar - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Perhimpunan bagi mengecam filem dan kartun yang mempersenda dan memfitnah Nabi Muhammad S.A.W. yang diadakan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) serta di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia berlangsung tanpa sebarang masalah, selari dengan kehendak pucuk pimpinan yang memberikan ruang untuk bersuara, tetapi pada yang sama perlu diadakan dalam keadaan yang terkawal.

"Tidak ada mana-mana pihak yang tak marah dengan apa yang berlaku berhubung kait dengan filem dan kartun ini. Tapi bagaimana kita nak tunjukkan kemarahan kita itu jangan sehingga menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pemimpin-pemimpin platun Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan Siswa Siwi Pertahanan Awam (Sispa) di pejabatnya di sini, Jumaat.

Perhimpunan yang diadakan di Masjid Kampung Baru dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno manakala di hadapan kedutaan US adalah anjuran Dewan Pemuda PAS.

Ia diadakan bagi mengecam penerbitan filem anti Islam 'Innocence of Muslims' dan kartun di dalam majalah Perancis Charlie Hebdo.

Kedua-dua pihak pada mulanya bersetuju untuk mengadakan perhimpunan bersama secara besar-besaran namun memutuskan untuk mengadakannya di dua tempat berbeza atas sebab-sebab keselamatan.

Hishammuddin berkata beliau gembira bahawa nasihat yang diberi untuk tidak mengadakan bantahan secara serentak di tempat yang sama diterima justeru mengurangkan risiko kemungkinan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

"Mereka membuat suara mereka didengar, mereka membuat pendirian yang jelas dan kemudian bersurai. Dalam keadaan seperti itu, saya berasa sangat gembira kerana mereka juga mewakili saya, sebagai individu, untuk menunjukkan kebencian kita dengan apa yang dilakukan filem itu baru-baru ini.

"Kita perlu membuat pendirian, tapi kita kena lakukannya secara aman tanpa menjejaskan keselamatan Malaysia dan tidak memburukkan imej rakyat dan negara kita," katanya.

Menjawab soalan, Hishammuddin berkata adalah tidak perlu untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kedutaan yang terlibat kerana kementerian mempunyai cara sendiri untuk memantau keselamatan mereka.

Di PETALING JAYA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata protes besar-besaran oleh pelbagai pihak bagi mengecam penerbitan filem antiIslam dan karikatur yang mempersenda dan memfitnah Nabi Muhammad S.A.W. hari ini adalah wajar untuk umat Islam di negara ini menyatakan bantahan mereka.

"Agama Islam mengajar pengikutnya untuk tidak menghina mana-mana pemimpin mahupun tokoh agama lain... Adalah wajar kita sebagai umat Islam pertahankan agama kita kerana ia adalah keyakinan kita.

"Protes itu adalah hak kita yang dibenarkan oleh agama tetapi ia perlulah dilakukan secara adab dan tertib mengikut akhlak seorang muslim," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Kali Ke-22 di Petaling Jaya.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu rakyat memulau semua barangan buatan Amerika Syarikat sebagai satu tindakan untuk menyedarkan mereka yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. melalui filem "Innocence of Muslims".

Menteri Besar Kelantan itu juga mahu jawatankuasa mengutuk perbuatan itu menyenaraikan jenama barangan keluaran zionis Israel itu bagi membolehkan umat Islam mengetahui jenama barangan yang perlu diambil tindakan pemulauan itu.

"Ini adalah suatu pengajaran kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu yang memang mementingkan kebendaan dan wang ringgit dalam hidupnya," katanya ketika berucap di perhimpunan aman membantah penerbitan filem dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad S.A.W di Dataran Ilmu.

Kira-kira 2,000 orang membanjiri perkarangan dataran itu disertai ucapan wakil dari Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Angkatan Muda Negeri Kelantan.

Kemuncak kepada perhimpunan bantahan itu, Nik Abdul Aziz membakar cakera padat filem berkenaan sebagai tanda memprotes perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Nik Abdul Aziz berkata tidak cukup dengan mengadakan protes atau demonstrasi secara aman di jalanan tanpa mengambil tindakan lebih tegas dengan memboikot barangan buatan Amerika seperti itu.

Di GEORGE TOWN, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Pulau Pinang mendesak YouTube menyekat tayangan filem kontroversi, Innocence of Muslims di seluruh dunia.

Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA negeri, Faruk Raja Mohamed berkata walaupun filem berkenaan disekat di negara ini ia masih boleh diakses di luar negara secara bebas.

"Selagi YouTube tidak menyekat video ini secara menyeluruh, secara tidak langsung ia juga bersubahat menyebabkan kematian puluhan orang termasuk tokoh penting sejak tayangannya disiarkan," katanya kepada pemberita selepas menyertai demonstrasi aman di Masjid Lebuh Acheh.

Beliau berkata hak kebebasan bersuara tidak seharusnya digunakan untuk mengapi-apikan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat. Himpunan selepas solat Jumaat dalam keadaan hujan lebat itu disertai lebih 50 umat Islam di negeri ini.

Filem Innocence of Muslims disekat di YouTube pada 17 Sept dan hanya maklumat meminta maaf tertera pada skrin yang berbunyi: "This content is not available in your country due to a legal complaint. Sorry about that". (Kandungan ini tidak boleh ditonton di negara anda berikutan aduan secara perundangan. Maaf mengenai perkara itu). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain