suria

123,000 Unit Rumah Mampu Milik Dibina Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 123,000 unit rumah harga berpatutan akan dibina di kawasan-kawasan strategik tahun depan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Jumaat.

Untuk itu, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membolehkan inisiatif itu dilaksanakan oleh Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

Sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan PR1MA untuk membina 50,000 unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit, kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2013 bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" di Dewan Rakyat di sini.

Antara bandar utama itu ialah Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang).

"Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang memiliki rumah mereka sendiri.

"Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, kerajaan menjadikan hasrat ini sebagai keutamaan berterusan," katanya.

Perdana menteri berkata di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta untuk membina 30,000 unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta.

Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka, katanya.

Beliau berkata sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik.

"Projek perumahan yang SPNB akan laksanakan segera termasuk membina 1,855 unit apartment kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh yang akan dijual pada harga sekitar RM120,00 hingga 220,000 seunit," katanya.

Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, Najib berkata SPNB akan membina 21,000 unit rumah untuk tahun 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus, katanya.

Selain itu, peruntukan sejumlah RM543 juta akan disediakan untuk Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), yang akan dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit.

"Dua puluh peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Najib berkata bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancar melalui Belanjawan lepas akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri.

Syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja enam bulan akan dimansuhkan, katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan juga bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Dis 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga RM400,000.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam ditetapkan pada kadar RM100 tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

Pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak RM1 bagi setiap RM1,000 pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan RM2 bagi pinjaman kali kedua.

Perdana Menteri berkata Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) akan disusun semula dan kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan kerajaan yang baru berkuatkuasa Januari tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan kerajaan.

Beliau berkata segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik dan penjawat awam masih tetap membayar empat peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

Najib berkata pada masa ini, kerajaan meminjam sebanyak RM6 bilion setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh BPP, Kementerian Kewangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut