KUALA LUMPUR: Seramai 125,708 pegawai dan anggota Angkatan Tentera akan menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan bermula 1 Januari depan.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu dalam Belanjawan 2013 pada Jumaat berkata bayaran insentif khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM301 juta. Beliau berkata bagi menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera, elaun bertugas anggota biasa dan pegawai turut dinaikkan kepada RM6 dan RM7.80 sejam daripada hanya RM4 dan RM5.80 sejam sebelum ini."Penyelarasan elaun ini melibatkan 65,000 anggota simpanan tentera membabitkan Askar Wataniah, dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara serta pasukan Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan anggota sukarelawan polis (PVR)," katanya di sini.Bagi meringankan beban 224,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, Najib berkata kerajaan akan memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 secara 'one-off' atau dibayar sekali sahaja kepada mereka.Beliau berkata pemberian melibatkan peruntukan sebanyak RM224 juta itu akan dikongsi bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM12 juta bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat.Skim itu akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang bertugas, katanya. BERNAMA