suria

GiatMara Main Peranan Latih Tenaga Kerja Berilmu Dan Berinovasi

PASIR GUDANG: Kewujudan 231 buah pusat GiatMara di negara ini masih relevan dan ia merupakan antara institusi yang penting melahirkan modal insan berilmu dan berinovasi sekali gus menepati keperluan semasa pada masa kini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui kursus-kursus pendek yang ditawarkan seramai kira-kira 300,000 tenaga mahir tempatan berjaya dilahirkan sehingga hari ini.

"Tidak semua pelajar dapat peluang masuk universiti serta politeknik, namun kerajaan tidak melupakan mereka dengan mewujudkan peluang bagi mereka yang tercicir selepas persekolahan untuk sama-sama memainkan peranan dalam pembangunan negara.

"Jadi dalam soal ini, GiatMara memainkan peranan menyediakan peluang kepada pembelajaran kemahiran tidak kira lapisan masyarakat," katanya selepas merasmikan GiatMara Pasir Gudang dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi GiatMara 2012, di sini, Ahad.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad, Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Shahiruddin Ab. Moin, dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meryam Majid. Menurutnya pada masa kini ramai anak muda memasuki pasaran kerja tanpa kemahiran dan menjadi peranan GiatMara untuk menyediakan program relevan dengan keperluan semasa negara seperti pembangunan Iskandar Malaysia dan projek minyak dan gas di Pengerang.

Sehubungan itu katanya, rakyat perlu mengambil manfaat atas kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh kerajaan.

Dalam masa yang sama beliau juga berharap GiatMara membuka peluang kepada pelatih bukan bumiputera untuk mempelajari kemahiran kerana situasi dunia kini adalah ekonomi berasaskan pengetahuan yang memerlukan negara berjaya mendepani cabaran dan persaingan.

"Ini penting supaya kita boleh menjadi pemain aktif di peringkat global. Wujudkan ruang dan peluang kepada semua kaum yang mana wakil rakyat perlu galakkan anak-anak muda turut serta," katanya. BERNAMA

Artikel Lain