suria

Apa Ni! Perjalanan 4 Jam Jadi Lebih 10 Jam: Di Mana Silapnya...

Gambar menunjukkan trafik sesak dari Tanjung Karang menuju Kuala Lumpur selepas umat Islam pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha. -foto THE STAR/Brian Moh
Gambar menunjukkan trafik sesak dari Tanjung Karang menuju Kuala Lumpur selepas umat Islam pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha. -foto THE STAR/Brian Moh
Gambar menunjukkan trafik sesak dari Tanjung Karang menuju Kuala Lumpur selepas umat Islam pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha. -foto THE STAR/Brian Moh

LEBUH RAYA dibina dan dicipta untuk melancarkan perjalanan yang panjang dan jauh. Ia juga ada kala disebut sebagai jalan raya ekspres. Setidak-tidaknya itulah yang didefinasikan oleh Kamus Dewan.

Kenapakah dua perkataan 'lebuh' dan 'raya' itu digabungkan? Ini adalah kerana untuk memperlihatkan betapa luas dan besarnya infrastruktur itu sendiri kepada penggunanya.

Gabungan dua perkataan itu dengan sendirinya memperlihatkan ciri-cirinya yang hebat, besar, lebar dan raya.

Jika tidak, maka jalan itu hanyalah bertaraf jalan persekutuan, negeri mahupun daerah atau kampung sahaja.

Maka oleh yang demikian apabila sebuah lebuh raya pada ketika-ketika tertentu khususnya pada waktu ia diperlukan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna untuk bergerak dengan pantas dan berkesan gagal berfungsi sebagaimana namanya, di manakah yang tidak kena?

Khabarnya, Ahad lalu, iaitu tiga hari selepas umat Islam berbondong-bondong kembali ke kampung halaman untuk berhari raya dan berkorban bersama sanak keluarga, mereka pun kembali bergerak ke lubuk rezeki masing-masing.

Tidak sepertimana hari raya puasa, cuti untuk hari raya korban tidak panjang - cuma empat atau tiga hari sahaja.

Maka Ahad menjadi sasaran, boleh dikatakan semua mereka yang menggunakan lebuh raya untuk kembali semula ke ibu kota atau tempat bekerja.

Akibatnya, dari pagi sehingga ke tengah malam, lebuh raya utama semenanjung Malaysia seperti Lebuh Raya Utara-Selatan tidak lagi menjadi lebuh raya sepertimana sepatutnya.

Sebaliknya, setiap pengguna mendapati mereka seperti sedang berada di ibu kota atau bandar besar menunggu lampu trafik untuk kelihatan merah semula untuk bergerak.

Malangnya pergerakan mereka jauh lebih lembab dan perlahan daripada jalan biasa yang bukan bertaraf lebuh raya.

Misalnya seorang pengguna yang sebaik sahaja melepasi plaza tol Juru di Seberang Perai, Pulau Pinang pada jam 5 petang Ahad telah mendapati kenderaannya hanya mampu bergerak paling maksimum 40km/jam sehingga ke hentian rehat Sungai Perak dan mengambil masa lebih tiga jam untuk tiba di sana.

Ya kenderaan memang banyak tetapi pemandu tersebut mendapati, yang menjadi punca atau penyebab kepada pergerakan yang perlahan dan lembab dari tol Juru adalah kerana begitu ramai pengguna yang ingin memasuki hentian rehat Sungai Perak sehingga menganggu perjalanan pemandu lain.

Mereka bukan sahaja memperlahankan kenderaan malah sanggup beratur panjang berkilometer jauhnya semata-mata untuk memasuki hentian rehat berkenaan.

Tindakan dan tingkah laku ini telah menyebabkan laluan lain di lebuh raya tersebut terganggu dan terjejas teruk sehingga kenderaan bergerak terlalu perlahan dan mencetuskan kesesakan lalu lintas beratus-ratus kilometer jauhnya.

Penulis dapati, terdapat tiga punca kenapa kesesakan ini berlaku.

(1). Tiada perancangan bijak daripada pengguna sendiri. Memasuki lebuh raya sekaligus tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah ialah apabila sebahagian besar daripada pengguna ingin mengisi semula petrol mereka dan mula memasuki perhentian rehat yang menyediakan perkhidmatan stesen petrol.

Kebanyakkannya hanya mengisi petrol separuh tangki penuh ketika memasuki lebuh raya dengan pemikiran mereka boleh mengisinya semula separuh jalan. Malangnya, apabila lebuh raya sesak dengan kenderaan apatah lagi bila berduyun-duyun berebut memasuki kawasan perhentian rehat untuk mengisi semula petrol, maka inilah yang terjadi.

(2). Semua pengguna lapar dan perlu melawaskan diri sendiri. Pada saat dan ketika ini, barulah kita sedar, tempat perhentian dan rehat yang penyediaan kedai menjual makanan dan merehatkan diri tidak mencukupi khususnya pada waktu perayaan dan percutian. Akibatnya apabila berpuluh ribu pengguna dan kenderaan berbondong-bondong memasuki hentian rehat, maka inilah yang terjadi.

(3). Sudah pastinya, operator lebuh raya seperti PLUS Bhd sudah sedia maklum dan masak benar mengenai situasi ini. Tetapi maklum balas yang penulis terima daripada ramai pengguna lebuh raya pada musim cuti raya haji kali ini ialah PLUS tidak cekap menguruskan kenderaan keluar-masuk di setiap hentian rehat. Mereka tidak membimbing atau memberi panduan atau arahan bahawa kawasan rehat sudah penuh dan meminta kenderaan lain agar bergerak terus ke hentian berikutnya bukan dengan membiarkan mereka beratur panjang di laluan masuk ke perhentian rehat sehingga menjejaskan aliran kenderaan lain yang ingin meneruskan perjalanan pulang mereka.

Akibat daripada kesesakan yang sangat-sangat luar biasa ini, pengguna yang memasuki tol juru pada jam 5 petang Ahad hanya tiba di rumahnya di Ulu Klang, pada jam 2.08 pagi hari berikut.

Perjalanan biasa menggunakan lebuh raya yang sepatutnya memakan masa cuma empat jam dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur telah mengambil masa sehingga lebih 10 jam - hanya memandu kereta tanpa henti.

Mereka tidak dapat singgah di mana-mana perhentian pun kerana kesemuanya dipenuhi dengan kenderaan.

Dalam erti kata yang lain, seorang penumpang yang menaiki pesawat dari KLIA menuju ke Eropah atau Australia akan terlebih dahulu tiba di destini mereka berbanding dengan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan pada Ahad lalu.

Jadi macamana? Bayar perkhidmatan tol macam tu juga tapi perkhidmatannya?

Dalam konteks ini, kita sebagai pengguna mahupun penyedia perkhidmatan sentiasa mengambil mudah akan peranan dan tanggungjawab lebuhraya sehinggakan kita tidak sedar yang kita adalah penyumbang utama kepada punca lebuhraya tidak lagi berperanan sebagai 'lebuh' dan 'raya' pada ketika dan waktu-waktu tertentu.

Malah ada yang berbisik, kesesakan Ahad lalu adalah yang terburuk yang mereka pernah alami selama menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Artikel Lain