Pembahas Selangor Abdul Shukur Idrus menerima penghormatan apabila Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan perwakilan lain bangun dan memberi tepukan selepas perbahasan beliau. -foto AZMAN GHANI/The Star KUALA LUMPUR: Ahli Umno disaran agar menetapkan pendirian mereka dan tidak menjadi seperti katak yang suka melompat sekiranya tidak mendapat tempat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.Perwakilan Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata, sebagai ahli Umno mereka harus melaksanakan arahan dan mendengar nasihat daripada pucuk pimpinan. "Kalau kita tak mendengar nasihat dan cakap, mati katak. Ada beberapa falsafah `katak' yang boleh menjadi ikutan dan larangan yang saya ingin perkenalkan di sini, agar ia menjadi renungan semua pihak,' katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Jumaat.Abdul Shukur berkata, falsafah larangan itu adalah; Ketepikan Amalan Takut Akui Kesilapan; Kalah Akibat Terlalu Alpakan Kuasa dan Kerana Angkuh Tentulah Akibatnya Kecundang."Falsafah yang menjadi ikutan adalah Kena Akur Tunjuk Ajar Ketua; Kita Amalkan Toleransi Amanah Kesederhanaan dan Kejayaan Akan Tercapai Apabila Kerjasama."Seandainya kita tidak mempunyai idea bagi menjana kecemerlangan pilihan raya kali ini, kita harus mencontohi cara Perdana Menteri bekerja," katanya.Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor berkata cara yang dibawa oleh Najib, yang membawa pelbagai perubahan akhirnya berjaya mengembalikan sokongan golongan muda kembali menyokong Barisan Nasional (BN).Jelasnya, ahli parti seharusnya berjanji untuk bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam pelbagai sudut dan dimensi agar Umno tidak kecundang serta berjaya merampas semula negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang.“Saya mahu menyeru semua perwakilan Selangor yang ada dalam dewan ini supaya tanamkan azam dan tekad berjuang habis-habisan. Sebagai menghargai jasa presiden kita, kita akan hadiahkan kerajaan Selangor pada PRU13.“Umno Selangor akan bantu BN rampas semula Selangor dari tangan pembangkang,” katanya.