Choong menunjukkan trofi yang dimenanginya dalam temu bual baru-baru ini.KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara yang pernah menjuarai perseorangan All-England sebanyak empat kali, Datuk Eddy Choong, meninggal dunia akibat sakit tua di Pulau Pinang, Isnin.Choong, 83, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Pakar LohGuanLye, Pulau Pinang kira-kira pukul 3.00 petang selepas dimasukkan ke pusat perubatan swasta berkenaan sejak seminggu lepas. Kematian Choong disahkan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh yang dimaklumkan mengenainya oleh ahli keluarga mendiang."Saya terkejut mendengar berita ini dan ia satu kehilangan besar buat BAM dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.Selain menjadi juara empat kali acara perseorangan lelaki Kejohanan All-England edisi 1953, 1954, 1956 dan 1957 mendiang juga adalah ahli pasukan Piala Thomas Malaya pada 1955 yang berjaya mempertahankan gelaran berpasukan dunia itu.Pada 1958 pasukan itu tumpas kepada Indonesia.Di GEORGE TOWN, anak sulung mendiang, Finn Choong, 53, berkata ayahnya dimasukkan ke hospital itu dua hari lalu selepas mengalami muntah."Doktor sudah benarkan ayah pulang hari ini. Bagaimanapun, ayah mengalami komplikasi...Doktor mendapati ada pendarahan di dalam perut," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Bell.Beliau berkata ayahnya yang sangat mencintai sukan badminton sepatutnya menyaksikan perlawanan All-England di Birmingham pada Mac ini untuk memberi sokongan kepada pasukan negara.Choong meninggalkan isteri Datin Maggie Choong, empat orang anak lelaki dan lima cucu.Sementara itu, Maggie berkata beliau amat terharu melihat kedatangan wakil media."Saya terharu mendapati anda masih mengingati mendiang. (Semasa hidup) mendiang cukup bangga dengan anda semua," katanya.Mayat mendiang dijadual diuruskan di Krematorium Batu Gantung, Jumaat ini pada pukul 2 petang. WIRA BADMINTION SEJATIWalaupun berbadan kecil, ketangkasan dan kelincahan legenda badminton negara Datuk Eddy Choong, menumpaskan lawan yang mempunyai fizikal yang lebih besar dan tinggi masih segar dalam fikiran peminat badminton tanah air.Dengan hanya ketinggian lima kaki empat inci, juara empat kali berturut-turut edisi 1953, 1954, 1956 dan 1957 Kejohanan Badmintion All-England mampu mengegarkan gelanggang badmintion, Empress Hall, Kota London pada era-1950 yang sebelum ini dikuasai pemain dari negara benua Eropah.Kini Malaysia kehilangan wira badminton apabila Choong, 83, meninggal dunia di pusat pakar LohGuanLye di Pulau Pinang hari ini akibat sakit tua.Mendiang meninggalkan isteri Datin Maggie Thean Sun Lin, 79, dan empat orang anak lelaki Finn Choong, 53, Lionel Choong, 51, Jorgen Choong, 46, dan Antonio Choong, 37.Selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi acara perseorangan lelaki Kejohanan All-England, anak jati Pulau Pinang itu juga menyandang gelaran juara bagi acara beregu selama tiga tahun berturut pada tahun 1951, 1952, dan 1953 bersama adiknya David Choong.Mendiang juga adalah anggota pasukan Piala Thomas Malaya, pada tahun 1955 beliau dan pasukannya berjaya mempertahankan gelaran berpasukan dunia itu selepas mengalahkan Denmark 8-1 di Singapura.Namun pasukan gagal mempertahankan gelaran tersebut pada edisi 1958 setelah tumpas 3-6 ke atas Indonesia di Singapura dan Choong bersara dari skuad kebangsaan dua tahun kemudian iaitu pada pertengahan tahun 1960.Mendiang pernah menerima penghormatan tertinggi sebagai penerima anugerah 'Player of the Year' daripada Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada tahun 1983 atas kecemerlanganya dalam arena sukan badmintion dunia.Walaupun telah meninggal dunia, nama mendiang setiasa segar dalam sukan badminton negara kerana sumbangan yang dicurahkan beliau dalam arena sukan negara terlalu bernilai buat negara.Semasa hidup, mendiang pernah berkata Malaysia masih mampu menjadi kuasa badminton dunia selagi ada pemain yang berusaha bersungguh-sungguh untuk maju satu langkah di hadapan lawan mereka. - BERNAMA