suria

12 Wanita Warga Asing Ditahan Terlibat Aktiviti Pelacuran

KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 wanita warga asing dalam serbuan di sebuah salon mencuci rambut yang turut menawarkan khidmat urutan serta seks di Puchong dekat sini malam Rabu.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintenden Rohan Shah Ahmad berkata wanita berusia lingkungan 23 dan 42 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan aktiviti tidak bermoral.

"Kita tahan tujuh wanita Vietnam, empat China, dan seorang Thailand kerana tidak memiliki pasport," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Premis yang tidak memiliki lesen tersebut menawarkan perkhidmatan mencuci rambut dan urutan dengan harga RM80 serta khidmat seks akan ditawarkan kepada pelanggan yang inginkannya dengan harga yang ditentukan sendiri oleh wanita tersebut, katanya.

Katanya bangunan kedai tiga tingkat tersebut mempunyai beberapa bilik dan turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) di pintu pagar bahagian tangga serta pelanggan yang dikenali sahaja dibenarkan masuk.

Beliau berkata turut ditahan seorang penjaga premis yang baru sebulan bekerja bersama empat pelanggan berusia 21 hingga 30 tahun.

Operasi sejam yang berakhir 9.30 malam itu disertai tiga pegawai dan 12 anggota dari IPK Selangor.

"Kita sudah perhatikan tempat ini dua hari dan tadi kita hantar anggota untuk penyamaran sebelum serbuan dilakukan," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa bungkusan kondom, wang tunai berjumlah RM1,000, minyak urut dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain