TUNAI TANGGUNGJAWAB … Sebahagian daripada 96 anak-anak kapal KD Terengganu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di atas kapal KD Terengganu dekat perairan Felda Sahabat Lautan Sulu di Lahad Datu pada Jumaat. -Foto BERNAMALAHAD DATU: Seramai 96 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di perairan negara dekat sini mengundi secara pos bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada Jumaat.Anak kapal KD Terengganu, yang menjalankan tugas rondaan dan mengawal perairan pantai timur Sabah sejak awal bulan lepas, tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi walaupun dalam kesibukan bertugas memastikan keselamatan perairan negara daripada diancam anasir luar. Proses mengundi dijalankan tiga pegawai dari Jabatan Arah Rekod dan Pencen Kementerian Pertahanan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu Pegawai yang Bertanggungjawab (PYB) undi pos ATM bagi Operasi Daulat Mejar Muhammad Jilli Asyraf, Pegawai Waran 2 Ayub Abu Bakar (Kerani Undi Pos) dan Sjn P. Thinagaran (Kerani undi Pos).Pegawai Memerintah KD Terengganu Komander Shaiful Mayudin ketika ditemui pemberita di atas kapal itu, berkata anggota TLDM tidak terkecuali dalam menunaikan tanggungjawab menentukan masa depan negara melalui undi masing-masing."Walaupun kami berada di lautan, kami tetap menjalankan kewajipan untuk mengundi. "Saya dan anak kapal akan terus menjaga kedaulatan perairan negara termasuk pada pilihan raya umum 5 Mei ini," katanya.Timbalan Pegawai Navigasi Lt Ahmad Faisal Abd Aziz, 25, berkata beliau teruja dengan pengalaman pertama kali mengundi di atas kapal."Ini juga pengalaman pertama saya mengundi sebagai rakyat Malaysia. Saya gembira sebab dapat jalankan tanggungjawab dan dalam masa yang sama bertugas di perairan," katanya.Berlainan pula dengan Pegawai Waran 2 Hamdan Hamid, 40, yang tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi sejak menyertai TLDM kira-kira 21 tahun lepas."Saya bangga dapat peluang mengundi di atas kapal sambil menjalankan tugas. Namun saya berasa sebak memandangkan ini pengalaman terakhir saya mengundi sebagai anggota TLDM kerana akan menamatkan perkhidmatan tahun depan," katanya.Beliau turut berpesan kepada rakan-rakan ATM lain untuk mengundi walaupun ketika bertugas. -BERNAMA