suria

Undi Awal Pasukan Keselamatan Ditentukan SPR, Tiada Campur Tangan - Ahmad Zahid

ALOR SETAR: Proses mengundi awal di kalangan anggota tentera dan polis dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)dan tiada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk pengurusan tertinggi pasukan keselamatan terbabit.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata wakil calon dari Barisan Nasional (BN) mahupun parti pembangkang turut dipanggil untuk menyaksikan proses mengundi dan pengiraan undi itu.

"Jadi tiada andaian yang boleh menyatakan proses pengundian awal merupakan permainan politik BN," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Kolej Tentera Udara di Kepala Batas, dekat sini, Jumaat.

Katanya pada pilihan raya umum ke-13 ini, SPR menetapkan anggota keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengundi awal pada 30 April dan sepatutnya tidak timbul isu ada unsur permainan politik dalam perkara itu.

Beliau berkata jangan rendahkan hak anggota pasukan keselamatan dalam mengundi calon pilihan mereka.

"Jangan rendahkan kemampuan mereka dalam meletakkan hak mereka sebagai warganegara Malaysia iaitu bagi mengundi calon yang mereka kehendaki.

"Jika kebetulan calon pembangkang tidak memperolehi undi sebagaimana yang mereka jangkakan maka jangan salahkan kita (BN), kata seolah-olah ada campur tangan daripada pegawai atasan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain