suria

15 NGO Buat Laporan Polis Terhadap Perbuatan Hina Nabi

KUALA LUMPUR: Lima belas badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan NGO Melayu Islam membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, yang mewakili 15 NGO, antaranya Persatuan Veteran Tentera Melayu Malaysia, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia, berkata laporan itu dibuat terhadap pemilik akaun yang dikenali sebagai 'Calvin Gani'.

"Saya meminta pihak polis, pihak berkuasa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri melihat perkara ini dan mengambil tindakan segera sebelum merebak menjadi wabak yang sukar dibendung," katanya selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis (IPD )Daerah Dang Wangi di sini.

Presiden KWMM, Dzulkarnain Taib pula berkata tindakan pemegang akaun itu berkemungkinan besar adalah daripada rangkaian terancang 'Red Bean Army' .

"Sebelum ini mereka telah menghina peribadi Yang di-Pertuan Agung tetapi kali ini, mereka menyerang pula peribadi pembawa Islam itu sendiri iaitu Rasullullah SAW," katanya.

Beberapa hari lepas, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin Gani' dan 'Rakyat Anarki' memaparkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain