PUTRAJAYA: Pencetus idea pewujudan Putrajaya, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Perbadanan Putrajaya (PPj) mempergiatkan usaha menjadikan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu sebagai tarikan pelancong.Bekas Perdana Menteri itu berkata kerajaan telah banyak berbelanja bagi memperindahkan Putrajaya, namun apabila habis waktu bekerja keadaannya menjadi sunyi. "Kita mahu menjadikan Persiaran Perdana seperti Champs-Élysées di Perancis tetapi tiada kedai-kedai di sepanjang jalan tersebut dan ia menjadi sunyi khususnya selepas waktu kerja apabila semua pejabat tutup."Sehubungan itu, kita perlukan kedai-kedai seperti kedai kopi dan buah tangan serta hiburan untuk menghidupkan suasana sepanjang Persiaran Perdana," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama Dr Mahathir sempena pelayaran penuh pertama bot 'Cruise Tasik', Isnin malam.Katanya Presiden PPj Tan Sri Aseh Che Mat mempunyai banyak idea bernas yang boleh direalisasikan untuk menjadikan Putrajaya sebuah destinasi pelancongan.Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Adnan Md Ikshan dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Datuk Azlan Karim.Sementara itu, Aseh berkata pengunjung ke Putrajaya boleh menikmati sepenuhnya keindahan tasik Putrajaya menerusi perkhidmatan bot persiaran 'Cruise Tasik' yang kini berupaya menyusuri laluan penuh sejauh 10.4 kilometer. Sejak 2008, pengunjung hanya berpeluang menyusuri jarak sejauh 9.4 kilometer sebelum berpatah balik kerana laluan yang cetek, namun masalah itu diatasi menerusi kerja mendalamkan tasik yang dilakukan sejak Disember lepas dengan kos RM14 juta, katanya.Menurutnya buat masa ini terdapat empat bot bagi perkhidmatan itu dan akan ditambah jika mendapat permintaan menggalakkan.-BERNAMA