Ervin Ahbabovic (kiri) dan Chung Shun Yee.KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Sivil pada Rabu menetapkan 22 November untuk mendengar permohonan seorang wanita tempatan untuk membatalkan saman oleh bekas teman lelakinya seorang warga Bosnia berhubung sperma bagi menghasilkan anak baka Eropah.Hakim K.M. Nithiyanantham menetapkan tarikh itu dengan dihadiri peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad, yang mewakili Ervin Ahbabovic dan peguam James Ee Kah Fuk yang mewakili Chung Shun Yee. Pada 3 September lepas, Ahbabovic, 41, selaku plaintif memfailkan saman terhadap Chung, 29, bagi mendapat ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa dipergunakan untuk mendapatkan spermanya untuk menghasilkan anak baka Eropah.Dalam pernyataan tuntutannya, Ahbabovic, pengarah komersial dalam industri pembangunan perniagaan di sebuah syarikat mendakwa beliau mula menjalin hubungan dengan wanita tempatan pada 2008 dan hasil perhubungan itu mereka memperoleh seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun lebih.Lelaki itu mendakwa bekas teman wanitanya itu juga telah menghalaunya keluar dari rumah dan menghalangnya daripada melihat anaknya, dan selepas itu dia ada menghubungi wanita itu dalam usahanya untuk berbaik semula demi kepentingan anak mereka.Beliau mendakwa niatnya itu dibalas dengan kata-kata yang mengejutkan apabila defendan menyatakan bahawa plaintif sebenarnya dipergunakan sebagai alat pemuas seks selain bagi mendapatkan sperma miliknya yang membolehkan defendan memperoleh anak genetik orang Eropah.Ahbabovic menuntut ganti rugi itu kerana penggunaan spermanya dalam usaha mendapatkan anak dengan cara yang salah, dan memohon supaya beliau disah dan didaftarkan sebagai bapa di dalam sijil kelahiran anak lelakinya, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.Chung dalam pernyataan pembelaan yang difailkan 30 Sept lepas, mendakwa Ahbabovic telah beberapa kali mengugut mahu membunuhnya sekiranya dia tidak mengikut arahan lelaki itu.Chung mendakwa Ahbabovic turut mengugut untuk mendedahkan gambar-gambar dan video peribadi yang diambil tanpa disedarinya kepada rakan-rakan dan memusnahkan kerjayanya sebagai ahli perniagaan.Chung juga menfailkan tuntutan balas bagi menuntut ganti rugi kehilangan perniagaan RM200,000, wang pampasan RM120,000, ganti rugi am, teladan dan lain-lain ganti rugi yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA