KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini akan terus memberi cahaya kepada masyarakat India untuk menikmati kehidupan lebih baik dan sejahtera.Beliau turut berharap perayaan, juga dikenali sebagai Pesta Cahaya itu, akan dapat menerangi segala kegelapan yang menghalang perpaduan di negara ini bagi memastikan semua rakyat menikmati kehidupan harmonis atas dasar toleransi yang sememangnya penting dalam negara pelbagai kaum. "Adalah menjadi harapan saya agar sinar yang muncul dari kegelapan akan memberi lebih semangat untuk kita menghadapi segala cabaran yang mendatang dengan penuh keyakinan dan kekuatan bagi mencapai harapan dan impian kita," katanya dalam perutusan Deepavali pada Khamis.Justeru, Muhyiddin mengajak semua rakyat negara ini agar bersatu hati mengorak langkah membina Malaysia yang aman sentosa dan membangun dengan cemerlang."Sambutan perayaan Deepavali, yang merupakan cuti umum dan jatuh pada hujung minggu, memberi peluang terbaik untuk kita saling kunjung mengunjung dan menghargai sumbangan masyarakat India yang turut memainkan peranan dalam membangunkan Malaysia," katanya.Muhyiddin turut menyeru rakyat negara ini bersatu padu dan bekerjasama dalam memberi sinar kehidupan kepada golongan kurang bernasib baik bagi memastikan tidak ada kumpulan masyarakat dipinggir."Bersamalah kita jalinkan semangat 1Malaysia yang menunjangi masa hadapan kita dengan kesungguhan dan komitmen sejati," katanya.Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Deepavali adalah lebih daripada sekadar pesta cahaya kerana ia merupakan satu peristiwa penting yang melambangkan keamanan, kasih-sayang dan toleransi, yang amat penting kepada mana-mana negara."Sekali lagi kita berpeluang meraikan pesta cahaya dan satu lagi tahun yang aman serta stabil seperti dinikmati selama ini," katanya dalam satu kenyataan. - BERNAMA