Datuk Seri Najib Tun RazakKUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 64 permohonan rumah ibadat untuk mendapat pengecualian cukai di bawah Tabung Pengurusan Rumah Ibadat (TPRI) hasil sumbangan orang awam, telah diluluskan dari 2012 hingga Oktober tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan perbelanjaan operasi rumah ibadat, peruntukan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 telah dipinda untuk melayakkan TPRI mendapat kelulusan pengecualian cukai itu di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967. "Bagi tujuan kelulusan di bawah subseksyen 44 (6) ACP 1967, TPRI akan diberi kelulusan sebagai satu tabung yang diwujudkan melalui satu Peraturan Rumah Ibadat yang dipertanggungjawabkan kepada anggota jawatankuasa rumah ibadat," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang diedarkan di lobi Parlimen di sini, Rabu.Wee ingin mengetahui jumlah permohonan dan jumlah pengecualian cukai hasil sumbangan orang awam yang dikemukakan oleh pertubuhan agama dan rumah berhala, Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang telah mendapat kelulusan.Perdana Menteri berkata bagi SJKC sebanyak lima permohonan dan satu permohonan daripada SMPC telah diterima bagi pengecualian cukai di bawah Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWA) sejak tahun 2012 hingga Oktober tahun ini."Bagi meringankan perbelanjaan menambahbaik kemudahan sekolah yang tidak berorientasikan keuntungan, peruntukan ACP 1967 juga telah dipinda untuk melayakkan TSUWA mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44 (6) ACP 1967," kata Najib.Katanya TSUWA adalah tabung yang ditubuhkan khusus untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran pelajar-pelajar sekolah sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan bukan bertujuan mencari keuntungan."Sekolah yang layak memohon mestilah sebuah sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri."Kelulusan hanya diberi berdasarkan sesuatu program yang diluluskan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan," katanya.Najib berkata garis panduan berhubung permohonan mendapatkan kelulusan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44 (6) ACP 1967 bagi TSUWA dan TPRI boleh diperolehi di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM). - BERNAMA