suria

Biro Undang-Undang Pemuda MCA Sedia Bantu Dakwa Penyerang Kamalanathan

PETALING JAYA: Biro Undang-Undang Pemuda MCA bersedia untuk membantu Jabatan Peguam Negara bagi mendakwa Muhammad Ridzuan Suhaimi, guru yang didakwa menumbuk Timbalan Menteri Pelajaran, P. Kamalanathan pada 12 Januari lepas.

"Hakikatnya terdapat laporan serangan dan polis telah menyiasat perkara itu. Jabatan Peguam Negara perlu bertindak segera, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seorang pemimpin negara, kerana ia akan memberi kesan kepada keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara," kata Pengerusi Biro, Eric Choo Wei Sern.

Choo, yang bercakap kepada The Star pada Selasa, menegaskan bahawa kertas siasatan yang disediakan oleh pihak polis telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 15 Januari lepas, dan menambah bahawa "keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan dinafikan."

Pada 11 Januari lalu, Kamalanathan membuat laporan polis berhubung serangan yang didakwa dilakukan oleh Muhammad Ridzuan yang juga Penolong Setiausaha Pemuda Umno Hulu Selangor.

Muhammad Ridzuan dilaporkan tidak berpuas hati mengenai isterinya, juga seorang guru, yang tidak diluluskan pertukarannya ke Hulu Selangor.

"Polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara dan tidak ada sebarang tindakan daripada Pejabat Peguam Negara lagi, sama ada terdapat isu takut atau pilih kasih di sini, kita tidak tahu.

"Bagaimana rakyat akan melihat mengenai keupayaan Peguam Negara?" soal Choo.

Ketika ditanya sama ada Biro Undang-undang Pemuda MCA mempunyai kuasa untuk mendakwa berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa budi bicara untuk mendakwa seseorang atas suatu kesalahan jenayah yang terletak di bawah kuasa Peguam Negara, Choo berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik sesiapa sahaja untuk mendakwa sekiranya mereka dapat berbuat demikian.

Choo berkata, peguam bela Tan Hock Chuan pernah mewakili Jabatan Peguam Negara dalam inkues Teoh Beng Hock.

"Jika ia disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja atau sebab-sebab lain di Jabatan Peguam Negara, kita boleh campur tangan untuk melakukannya tetapi budi bicara dan keputusan untuk mendakwa masih terletak pada Peguam Negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Suami Kiah Propa meninggal dunia