KUALA LUMPUR: Pengerusi pengurusan sebuah kondominium mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pecah amanah terhadap dana syarikat lebih RM320,000.
Yong Chee Keen, 38, didakwa pada Rabu terhadap dua pertuduhan kerana melakukan jenayah pecah amanah semasa memegang jawatan sebagai pengerusi syarikat Savana Condominium Joint Management Body (JMB).
Beliau dituduh kerana menyeleweng sejumlah RM244,350 antara 24 November 2011 dan 21 November 2012, dan RM75,200 antara 8 Disember 2012 dan 7 Mac 2013.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di pejabat JMB Savana Condominium di Jalan 1/155A, Bukit Jalil di sini.
Jika disabitkan kesalahan, Yong berhadapan dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Yong diwakili peguam C.W. Chan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri melakukan pendakwaan.
Hakim Murtazadi mengarahkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan21 Februari untuk tarikh sebutan.