suria

Pemuda PAS Desak Abdul Taib 'Dibersihkan'

PETALING JAYA: Pemuda PAS Pusat mendesak Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud 'dibersihkan' dahulu daripada isu salah guna kuasa dan rasuah sebelum dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak sekiranya pemimpin itu berundur daripada jawatannya ketika ini.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, Pemuda PAS memandang serius spekulasi bahawa Abdul Taib akan dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 28 Februari ini.

Menurutnya, hal ini kerana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Bruno Manser Fun (BMF) mendakwa aset keluarga Abdul Taib bernilai USD$21 Bilion (RM64 Bilion).

"Namun sehingga kini masih tiada pendakwaan dibuat ke atas beliau dan hanya kertas siasatan demi kertas siasatan sahaja dibuka.

"Pemuda PAS melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah terhalang untuk mendakwa malah kami dimaklumkan gagal untuk menyiasat sepenuhnya beliau mungkin kerana kuasa yang dimilikinya. Justeru, kami melihat perletakan jawatan sebagai ketua menteri merupakan peluang keemasan bagi SPRM untuk membuka semula kertas siasatan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, jika Abdul Taib gagal dihadapkan kemuka pengadilan tetapi tetap dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak maka rakyat bakal menyaksikan pengulangan kes yang sama sepertimana yang berlaku keatas Tan Sri Khalil Yaakob di Melaka.

Jelasnya, selain itu, Pemuda PAS turut menuntut penjelasan dan jawapan balas daripada Pusat Zakat Sarawak, Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara berhubung status zakat, cukai beliau.

"Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada SPRM untuk mendesak agar beliau (Abdul Taib) disiasat dan didakwa. Pemuda PAS juga akan bertemu dengan pihak Istana Negara bagi memohon Yang Di-Pertuan Agong mempertimbangkan untuk tidak melantik beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak selagi beliau belum 'dibersihkan' daripada rasuah," ujarnya.

Artikel Lain