suria

PRK Kanjang: Pemuda Umno Sedia Bongkar Isu Rakyat

Kharul Azwan Harun

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan bertindak sebagai ejen pembongkar kepincangan pentadbiran kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac depan.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang di Selangor perlu memberi kesedaran kepada pengundi mengenai kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.

"Jadi bila masuk (bertanding) sebagai pembangkang, kita kena cari kalau ada masalah rakyat atau komuniti...kita kena beritahu ini kerajaan Selangor kena betulkan.

"Bukan masuk, kita pula nak betulkan permasalahan tersebut...itu peranan Pemuda," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Dato' Onn di sini, Selasa.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas.

Pada pilihan raya itu nanti, BN menamakan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon.

Sementara PKR mempertaruhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Mengulas lanjut Khairul Azwan berkata, Pemuda Umno sudah menggerakkan jenteranya khusus bagi mendekati pengundi muda di DUN berkenaan.

Jelasnya selain mengambil pendekatan mengadakan pertemuan secara peribadi dan berkelompok, jentera sayap itu juga giat mendekati pengundi dan menyampaikan maklumat menerusi media sosial.

"Kita masuk gelanggang sebagai pembangkang, kita 'underdog'. Jadi jentera pemuda juga masuk sebagai pembangkang.

"Semangat kita berkobar-kobar untuk menang. Kita datang dengan mentaliti untuk menang," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain