suria

PRK Balingian: Tempoh Kempen 12 Hari Mencukupi - Adenan Satem

Adenan Satem.

KUCHING: Tempoh berkempen selama 12 hari bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian adalah mencukupi, kata Ketua Menteri Sarawak baharu, Tan Sri Adenan Satem.

"Ianya cukup. Kita sudah mulakan persiapan. Beberapa nama telah diserahkan kepada saya," kata Adenan kepada para pemberita di pejabatnya di sini, Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Balingian pada 29 Mac.

Ditanya mengenai hasrat Pakatan Rakyat untuk bertanding di DUN Balingian, Adenan berkata, Malaysia merupakan negara yang bebas.

"Bergantung kepada mereka... (calon) bebas juga mungkin bertanding," katanya.

Adenan berkata, Barisan Nasional (BN) Sarawak mungkin akan mengisikan calon dengan orang tempatan pada PRK itu nanti tetap enggan untuk mengulas lanjut.

"Kita akan memilih calon bila tiba masanya selepas kita berbincang dengan anggota-anggota senior parti," jelas Adenan.

Beliau berkata, nama calon akan diumumkan beberapa hari sebelum penamaan calon.

"Kita mesti berikan dia untuk buat persiapan," katanya.

Adenan berkata, beliau begitu yakin dengan peluang parti berdasarkan keputusan pilihan raya yang lepas.

Kekosongan kerusi DUN Balingian berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Jumaat lepas.

Pada pilihan raya negeri 2011, Taib mempertahankan kerusi Balingian dalam persaingan tiga penjuru, mengalahkan Suriati Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

adenan satem, spr, prk balingian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain