PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian (N51) ditetapkan pada 29 Mac. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, hari penamaan calon pada 17 Mac. Proses undian awal akan dilakukan pada 25 Mac. "Kita anggarkan kos untuk adakan pilihan raya kecil ini iaitu RM910,213," kata Abdul Aziz pada sidang media di sini, Khamis. Kekosongan kerusi DUN Balingian berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Jumaat lepas. Seramai 13,366 pengundi berdaftar di Balingian. Pada pilihan raya negeri 2011, Taib mempertahankan kerusi Balingian dalam persaingan tiga penjuru, mengalahkan Suriati Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.