PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad mengarahkan siasatan terpeinci dijalankan ke atas Jabatan Imigresen berikutan penggunaan pasport curi oleh penumpang misteri bagi menaiki pesawat MH370 yang hilang awal pagi Sabtu. Sebelum ini dilaporkan bahawa dua individu masing-masing dari Itali dan Austria yang tersenarai sebagai mangsa yang menaiki pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang didapati hilang dipercayai masih hidup dan tidak menaiki pesawat berkenaan. Menurut jurucakap Kementerian Luar Itali, tiada rakyatnya menaiki pesawat itu, sebaliknya Luigi Maraldi, 37, disahkan tidak berada di dalam pesawat penumpang tersebut. Sebuah akhbar Itali, Corriere Della melaporkan bahawa pasport milik Maraldi dipercayai hilang di Thailand pada Ogos lalu. Sementara itu, seorang warga Austria, Christian Kozel, 30, yang turut dilaporkan menaiki pesawat tersebut, dilaporkan selamat. Kementerian Luar Austria berkata, Kozel selamat dan mendakwa pasportnya hilang dua tahun lalu di Thailand.