suria

PRK Kajang: Zaid Ibrahim Tidak Tanding

Datuk Zaid Ibrahim ketika sidang media pada 16 Februari lalu mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Kajang.

PETALING JAYA: Bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Menurut Zaid, beliau membatalkan hasratnya itu berikutan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRK tersebut.

"Selepas disabitkan bersalah pada Jumaat lalu, beliau tidak lagi layak bertanding dalam PRK ini.

"Jadi kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah selamat dan kerajaan negeri akan terus stabil," katanya menerusi emel pada Ahad.

Anwar dikenakan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, kira-kira enam tahun lepas.

Beliau dituduh meliwat Saiful yang ketika itu berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Zaid Ibrahim, PRK, Kajang, Anwar Ibrahim

Artikel Lain