BEIJING: Malaysia Airlines (MAS) sedia membawa anggota keluarga penumpang warga China yang mahu ke Kuala Lumpur, menurut syarikat penerbangan itu di sini pada Ahad. "MAS akan menanggung semua perbelanjaan," kata naib presiden kanan serantau (China) MAS, Joshua Law Kok Hwa, dan menambah mereka perlu mempunyai pasport dan visa yang sah untuk mengunjungi Malaysia. Pegawai daripada MAS akan menyambut mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, kata Law kepada pemberita Malaysia di Lido Hotel di sini. Beliau berkata beberapa saudara penumpang warga China yang menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang itu memohon supaya dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden itu. Penerbangan MH370 MAS, membawa 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 kru, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di sini pada 6.30 pagi waktu tempatan.