KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Ketika bertitah pada perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-13, Seri Paduka Baginda turut meminta ahli keluarga penumpang dan krew pesawat berkenaan agar bertenang dan tabah. "Di kesempatan ini beta dan Raja Permaisuri Agong bersama rakyat Malaysia amat prihatin terhadap insiden yang berlaku. "Beta juga berharap agar ahli-ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat dapat bertenang dan tabah menerima ketentuan tersebut," titah baginda di Dewan Rakyat pada Isnin. Kehilangan penerbangan MH370 MAS yang menggunakan pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 anak kapal, menjadi tumpuan dunia apabila hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 pagi pada Sabtu. Sehingga kini nasib pesawat itu, yang membawa penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal itu tidak diketahui.