suria

Ibu Doa Ketua Pramugara Selamat Pulang

Andrew Nari
SIBU: Tuai Rumah, Catherine Tamoh sentiasa mendokan keselamatan anaknya, ketua pramugara dalam 239 orang di dalam penerbangan MAS MH370 yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Ketika ditemui di kediamannya, Catherine berkata anaknya, Andrew Nari menghantar SMS pada pukul 11.03 malam Jumaat, satu jam sebelum pesawat itu berlepas dari KLIA.

"Ia hanya SMS biasa memberitahu saya bahawa pesawat itu akan terbang tidak lama lagi. Sebelum itu beliau kerap menghubungi saya," katanya.

Dia tidak menyangka bahawa ia boleh menjadi mesej teks yang terakhir daripada Andrew kepadanya.

Pada pagi Sabtu, dia menerima berita sedih daripada anak-anaknya yang lain di Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 pagi.

Disebabkan berita itu mempunyai kaitan dengan dirinya, dia sentiasa menantikan kemaskini dengan menonton televisyen bersama ahli keluarga.

Dia juga tidak mengetahui apa-apa mengenai bagaimana kejadian itu berlaku kerana tiada pihak yang memberi penerangan kepadanya.

Andrew adalah anak sulung Catherine. Dia mempunyai seorang lagi anak lelaki dan dua anak perempuan.

Apabila diminta menggambarkan peribadi Andrew, dia berkata: "Semua anak-anak saya adalah orang yang sangat bagus dan sangat bertanggungjawab."

Jelasnya, Andrew telah berkahwin dan mempunyai dua anak, seorang anak perempuan berusia 18 tahun dan seorang lagi anak lelaki berusia 14 tahun. Isterinya juga berasal dari suku kaum Iban.

Keluarganya telah menetap di Kuala Lumpur sejak beliau mula bekerja sebagai pramugara untuk syarikat penerbangan itu pada tahun 1998.

"Beliau kebanyakannya terbang ke destinasi antarabangsa, termasuk Eropah, Asia dan Amerika," katanya sambil menambah Andrew agak kerap berada di rumah, terutamanya semasa Hari Gawai Dayak dan Krismas.

Sementara itu, bekas rakan sekerja kepada tiga anak kapal pesawat yang dilaporkan hilang terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian itu.

Bekas pramugari berusia awal 40-an yang enggan namanya disiarkan berkata dia telah terbang bersama Kapten Zaharie Ahmad Shah, penyelia penerbangan Patrick Francis Gomes dan Andrew dalam banyak laluan antarabangsa.

Dia tidak dapat mengawal air matanya apabila dia dimaklumkan berita itu oleh suaminya kira-kira pukul 8 pagi Sabtu.

"Saya terkejut. Saya berdoa penerbangan itu akan OK kerana kapten adalah seorang juruterbang yang berpengalaman," katanya merujuk kepada Zaharie yang mempunyai lebih daripada 18,000 jam penerbangan.

Dia menyifatkan Zaharie sebagai 'DIY' seorang yang suka melakukan kerjanya sendiri dan merendah diri.

Dia mengingati Patrick sebagai seorang yang 'happy-go-lucky' (periang) dan berdedikasi.

Andrew,  juga seorang yang berdedikasi dan sangat berpengalaman, katanya.

"Dia sukakan bola sepak. Tidak silap saya, dia menyokong kelab (EPL) Liverpool."
andrew nari, pramugara, mh370, mas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain