suria

Penantian Keluarga Penumpang MH370

Puspanathan serta isteri dan dua anak turut berada dalam pesawat yang hilang iaitu MH370.

PUTRAJAYA: Seorang pengurus pemasaran, S. Puspanathan sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun hari lahir adik perempuannya ke-25 selepas selesai urusan perniagaan dengan menaiki penerbangan MH370.

Bagaimanapun, keluarganya kini berada dalam kebimbangan selepas penerbangan milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan sehingga Isnin.

Bapanya yang merupakan pengawal keselamatan, G. Subramaniam, berkata beliau dan isterinya kini sedang menempuh  tempoh yang sukar untuk menghadapi kenyataan mengenai nasib anak mereka.

"Kami berharap untuk meraikan hari jadi anak perempuan kami dengan Puspanathan.

"Isteri dan saya berharap Puspanathan berada dalam keadaan baik. Sekarang, kami hanya perlu menunggu untuk maklumat terkini," katanya di Hotel Everly di sini, pada Ahad.

Ibrahim Abdul Razak, 75, yang sedang menunggu perkembangan terbaru di hotel bersama isterinya, berkata anaknya Mohamad Sofuan, 33, sepatutnya telah berlepas ke Beijing dengan penerbangan pada 7 Februari.

"Tetapi ia telah ditangguhkan ke awal pagi Sabtu. Dia ke Beijing kerana tugasan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik yang baru bagi Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa selama tiga tahun," katanya.

Ibrahim dan isterinya telah membuat persediaan untuk ke mana-mana sahaja yang akan dibawa oleh MAS jika mengetahui berita baru mengenai nasib pesawat MH370.

"Saya berdoa semoga anak saya berada dalam keadaan selamat," katanya.

Arni Marlina, 36, berkata, bagi mengetahui nasib adik tirinya yang merupakan penumpang MH370, dia telah berada di hotel tersebut sejak Sabtu.

"Ia merupakan sesuatu yang merunsingkan keluarga sementara mengetahui perkembangan terkini. Ibu dan saya akan berada di hotel manakala dua adik lagi telah bersiap sedia untuk dibawa MAS ke mana sahaja," katanya.

Adik tiri Arni Marlina ialah Muhammad Razahan Zamani, 24, serta isterinya Norli Akmar Hamid, 33.

"Kami adalah sebuah keluarga yang sagat rapat antara satu sama lain. Kami juga tidak akan menonton berita kerana ia memberi tekanan kepada kami tentang nasib Muhammad Razahan," jelasnya.

Bapa saudara kepada penumpang bernama, Chng Mei Ling, 33, berkata, anak saudaranya ke Beijing sebagai transit untuk ke Amerika Syarikat kemudiannya.

"Masa menjadi sangat lama sejak pesawat itu hilang. Kami telah disuruh menunggu dalam keadaan gelisah," kata lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Kong.

MH370, MAS, KLIA

Artikel Berikut

Artikel Lain