suria

Kes Kugan: Mahkamah rayuan Tetapkan 25 April Untuk Keputusan

Ibu Kugan (tengah), Indra Nalathamby bersama peguam ketika meninggalkan mahkamah pada Jun tahun lalu. -foto THE STAR
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa menetapkan 25 April bagi keputusan rayuan oleh polis, kerajaan dan bekas seorang konstabel terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mendapati mereka bertanggungjawab bagi kematian A. Kugan dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM801,700 kepada keluarga lelaki itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan semua pihak terlibat.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Hakim Datuk David Wong Dak Wah.

Pada 26 Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V. T. Singham (kini telah bersara) membenarkan saman sivil ibu Kugan, N. Indra dan memerintahkan kesemua perayu membayar kepada keluarga Kugan RM192,000 bagi kehilangan saraan hidup, RM9,700 bagi upacara pengebumian, RM50,000 bagi kesakitan dan penderitaan, RM50,000 bagi serangan dan pukulan, RM100,000 bagi penahanan secara salah, RM100,000 bagi misfeasans dan ganti rugi teladan RM300,000.

Dalam prosiding, Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili polis dan kerajaan, berhujah amaun diberikan hakim Mahkamah Tinggi adalah tidak munasabah.

"Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memberikan ganti rugi RM50,000 bagi kesakitan dan penderitaan, dan pada masa sama memberikan RM50,000 bagi serangan dan pukulan sedangkan ganti rugi bagi kesakitan dan penderitaan diberikan berdasarkan klausa bagi serangan dan pukulan," katanya.

Dengan berbuat demikian, katanya wujud pertindihan dalam ganti rugi diberikan oleh hakim.

Azizan berkata Kugan ditahan pada 15 Jan 2009 dan berdasarkan keterangan diberikan semasa perbicaraan, Kugan telah diserang pada 16 Januari, 2009 dan meninggal dunia pada 20 Januari 2009.

Amaun bagi kesakitan dan penderitaan sepatutnya sekitar RM10,000 dan responden tidak mempunyai asas untuk menuntut ganti rugi teladan, katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Indra, R. Sivarasa memberitahu mahkamah kuantum ganti rugi diberikan adalah munasabah dan hujahan perayu bahawa wujud pertindihan dalam award bagi 'kesakitan dan penderitaan' dan 'serangan dan pukulan' adalah salah anggap.

Pada 13 Januari 2012, Indra memfailkan saman sivil terhadap Ketua Polis Selangor

Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), bekas konstabel V. Navindran, bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar (sudah meninggal dunia), Ketua Polis Negara ketika itu dan kerajaan.

Indra, 46, menyaman kesemua perayu berhubung kematian anaknya semasa dalam tahanan polis di balai polis Taipan USJ pada 20 Januari 2009.

Kugan, 22, ditahan sebagai suspek kes curi kereta mewah.

Polis, kerajaan dan Navindran memfailkan rayuan masing-masing.
Navindran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan Kugan.
a.kugan, rayuan

Artikel Lain