KUALA LUMPUR: Tentera Malaysia percaya mengesan pesawat yang terputus hubungan radar di Selat Melaka, jauh dari lokasi di mana ia kali terakhir membuat hubungan dengan kawalan trafik udara awam di luar pantai timur negara, sumber tentera memberitahu Reuters. Dalam salah satu kejadian misteri yang paling membingungkan dalam sejarah penerbangan yang berlaku baru-baru ini, operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines, Boeing 777-200ER, kini memasuki hari keempat dan sehingga ini pesawat dengan 239 penumpang dan anak kapal itu masih tidak dapat dikesan. "Ia berubah haluan selepas Kota Bharu dan terbang rendah. Ia menghala ke Selat Melaka," kata pegawai tentera yang telah diberi taklimat mengenai siasatan kepada Reuters. Selat Melaka merupakan salah satu saluran perkapalan paling sibuk di dunia di sepanjang pantai barat Malaysia. Syarikat penerbangan itu pada Sabtu berkata radio dan radar perhubungan dengan Penerbangan MH370 telah hilang di luar pantai timur bandar Malaysia, Kota Bharu.