Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata suspek berusia antara 16 dan 53 tahun itu termasuk sembilan positif dadah ditahan di sekitar Kota Kinabalu dari 8 Jan hingga 3 Mac lepas.
"Bagi kes curi kenderaan yang melibatkan kumpulan Wei Chai, polis menangkap sebanyak 12 orang suspek yang berumur antara 22 hingga 53 tahun melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM319,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu, Karamunsing di sini, Selasa.
Hamza berkata sembilan suspek lelaki dari kumpulan Wei Chai itu didapati positif dadah dan telah dituduh di mahkamah.
Katanya, polis juga menangkap dua suspek dari Geng Ah Kit yang berumur 18 tahun termasuk seorang wanita terlibat dalam kes samun dan pecah rumah pada awal Mac lalu di sebuah apartment di sini.
Menurutnya, polis menangkap empat lelaki dari Geng Ading yang berumur antara 16 hingga 26 tahun terlibat dalam kes pecah rumah dan samun pada Februari lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama, di sini.
Beliau berkata rentetan itu, polis menemui sebahagian barangan yang dicuri termasuk beberapa buah kereta Perodua dan Proton serta motosikal pelbagai jenama Yamaha, Honda dan Suzuki.
Menurutnya, barangan yang dipercayai hasil curi yang dirampas itu bernilai kira-kira RM434,000.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun dan pecah rumah serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.