ASSALAMUALAIKUM dan salam pertemuan. Syukur kepada Allah s.w.t. kerana atas limpah kurnia Nya saya diberi kesempatan ini untuk memulakan siri perbincangan dengan para pembaca mStar di bawah pojok yang dinamakan SAKSAMA. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahabatnya. Sesungguhnya, kita hidup di dunia yang penuh dengan perjuangan dan pertempuran yang tiada putus-putusnya. Di dalam perbincangan di bawah pojok ini saya, sebagai seorang hamba Allah yang kerdil, mengharapkan kita saling menjadi pelita dan penerang kearah jalan yang lebih cemerlang daripada apa yang kita pernah berlalu sebelum ini. InsyaAllah. Kita sama saja. SAKSAMA membawa erti cermat, hati-hati, hemat-hemat, teliti, tidak berat sebelah, tidak menaruh prasangka, adil, timbang rasa, tidak berperasaan pilih kasih atau berpatutan. Tetapi dalam pengertian yang luas, SAKSAMA membawa erti suci, adil, kasih, setia, asli, mesra dan abadi. Berdasarkan kepada pengertian inilah, perbincangan kita adalah berteraskan pemegangan Alif Ba Ta, iaitu Agama Bangsa Tanahair. Seperti sudah termaktub, kita adalah sama di depan Yang Maha Berkuasa, kecuali dari sifat ketakwaaan kepadaNya dan amal jariah yang kita lakukan sesama insan. Maka dengan keinsafan ini, saya tidak berani meletakkan diri saya setanding dengan mereka yang mengakui dirinya cendekiawan, bangsawan, pendita dan politikus tersohor. Cukuplah untuk saya menerima "mereka dan anda sama padan dengan saya." Dengan menggunakan pendekatan ini, perbincangan kita tidak akan membuka ruang untuk berbahas tentang siapa lebih handal, lebih hebat, lebih bijak atau lebih bistari. Antara kita, anda sama saja dengan saya. Kisah rumah gelap Dengan pendirian sedemikian, saya ingin berkongsi suatu kisah yang, kononnya, berlaku di sebuah rumah desa yang terputus bekalan api. Dalam keadaan yang gelap, si bapa terjumpa sekotak penggores api. Namun, isinya cuma sebatang lidi penggores sahaja. Ahli keluarga yang lain juga teraba-raba di dalam gelap dan menemui beberapa batang lilin. Maka, dengan sebatang lidi penggores yang ada, si bapa menyalakan sebatang lilin. Sejurusnya, lilin yang dinyalakan itu berupaya menyalakan lilin yang lain, dan seterusnya bagi setiap batang lilin yang mereka temui. Rumah yang pada mulanya diselubungi keadaan suram, kini beralih menjadi ceria. Anak kecil yang tadi menangis kerana takut, kini ketawa. Ibunya mulai senyum. Dan abang kepada kanak-kanak cilik itu gembira dapat menyambung semula menulis ABC hingga ke huruf Z. Kakak mereka pula dapat membaca buku ceritanya sampai habis. Merasai suasana bahagia dan melihat keadaan berubah dari muram menjadi riang, Si Bapa berkata kepada keluarganya: “Kita melihat bersama betapa kecil nyalaan penggores api pada mulanya. Tapi, apabila ia dinyalakan pada lilin, cahaya mula marak. “Semakin banyak lilin dinyalakan, semakin terang cahaya di dalam rumah kita. Dan kita semua gembira. Alhamdulillah. ”Marilah kita mengambil iktibar dari peristiwa ini bahawa setiap usaha berupaya memberi manfaat kepada semua; walapun kita bermula secara kecil-kecilan.” Bila cahaya terhalang. Sudah tentu ada cahaya yang lebih besar daripada nyalaan penggores api dan lilin; iatu sinaran bulan, matahari dan bintang. Semakin luas liputan cahaya, semakin ramai insan, juga makhluk-makhluk yang lain akan mendapat manfaat daripadanya. Kecil atau besar, cahaya bergerak lurus ke semua arah. Cuma bila ia terhalang, kita dapat melihat bebayang atau cahaya yang terpantul. Jadi, anda fahamlah apa yang saya igin terterakan di dalam pojok ini. Seperti cahaya, setiap usaha yang kita lakukan bergerak lurus ke semua arah; kecuali ia terhalang. Kita, kekadang, berusaha untuk menerangi hidup ahli keluarga dan masyarakat. Bagaimanapun, ada masanya usaha kita ditentang, ditohmah, difitnah dan dihalang - kerana mereka yang melakukan demikian ingin melihat harapan murni kita tidak kesampaian. Mereka menanti kita terkecundang dan tewas. Apakah kita akan membiarkan usaha kita berhenti di separuh jalan? Anda tentu mempunyai jawapan yang tersendiri. Sememangnya kita, masing-masing, punyai kekuatan dan kelemahan sendiri. Yang penting, jangan kita mudah tertewas sebab ada ruang untuk berusaha secukup-cukupnya agar kejayaan menjadi milik kita akhirnya. Campur, tolak, darab, bahagi; kelebihan dan kekurangan pada diri kita adalah agak sama sahaja pada seluruhnya. Jangan seperti mana orang kampung saya selalu berkata, “pi mai, pi mai, dok tang tu juga.” Dengan kata-kata berjenaka itu, saya undur diri dulu hingga kita bertemu lagi pada masa akan datang. Wasalam.