Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai komunikasi terakhir di antara juruterbang dan ATC, yang dikatakan mempunyai dua versi transkrip yang didedahkan kepada orang ramai.
Hishammuddin berkata beliau tidak pasti sama ada kenyataan itu dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
"Saya tidak berapa pasti mengenainya tetapi saya boleh sahkan penglibatan saya dalam penyiasatan itu yang berkaitan dengan FBI sejak dari hari pertama.
Sementara itu, beliau berkata semua panel siasatan telah ditubuhkan dan kebenaran akan dibuktikan.
"Pada dasarnya, jika anda bertanyakan soalan yang merupakan sebahagian daripada siasatan, mengenai transkrip, anda perlulah bersikap adil kepada kami kerana hanya mereka yang melakukan siasatan itu yang boleh memberikan kata 'OK'."
Hishammuddin berkata pada akhirnya nanti, beliau yang perlu berdepan dengan suruhanjaya diraja atau jawatankuasa pilihan Parlimen serta lembaga siasatan antarabangsa.
"Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Kami hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan," tegas beliau.
Ditanya mengenai maklumat penyiasatan berkaitan transkrip temu bual dengan isteri juruterbang pesawat itu, yang dikatakan didedahkan oleh polis kepada The Daily Mail yang berpejabat di London, beliau berkata ia tidak didedahkan pihak polis.