Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau berkata, walaupun AirAsia bersedia pindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), perpindahan itu hanya akan dilakukan selepas semua isu diatasi.
Aireen berkata demikian sebagai maklum balas kepada pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa LCCT akan ditutup menjelang 9 Mei 2014 bagi memudahkan pembukaan klia2.
Menurutnya, keputusan kajian Ikram Premier Consultings mengenai kesediaan klia2 baru-baru ini menunjukkan wujudnya lekukan di landasan rayap/apron dan landasan yang memerlukan langkah pemulihan berkala dilakukan ke atas kawasan tertentu.
Aireen berkata, adalah penting untuk memastikan langkah pemulihan dilakukan sebelum perpindahan bagi mengurangkan risiko berkaitan insiden penerbangan.
"AirAsia juga percaya kesediaan beroperasi dan tempoh perpindahan lapangan terbang (ORAT) untuk menyokong operasi AirAsia akan memerlukan lebih daripada dua bulan seperti diberikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Aireen berpendapat tempoh perpindahan yang ditetapkan MAHB itu tidak realistik dan terlebih optimis.
Menurutnya, ORAT untuk perpindahan dari terminal utama KLIA ke LCCT pada 2006 mengambil masa lebih daripada dua bulan ketika operasi AirAsia ketika itu jauh lebih kecil.
"Selain itu, terdapat perkara utama berkaitan komersil, operasi dan perkara terbuka dalam kontrak yang masih dibincangkan antara AirAsia dan MAHB yang perlu diselesaikan sebelum perpindahan ke klia2," katanya.