BEIJING: Taklimat peringkat tertinggi oleh pakar antarabangsa kepada ahli keluarga penumpang warga China Penerbangan MH370 di Kuala Lumpur pukul 10 pagi Rabu dijangka disiarkan secara langsung kepada keluarga penumpang lain di Beijing melalui sidang video. Mej Jen Datuk Affendi Buang dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata langkah itu bertujuan memberi penjelasan terperinci berhubung dengan soalan teknologi yang dibangkitkan anggota keluarga. Sidang video secara serentak itu membolehkan keluarga penumpang memahami dengan mendalam mengenai fungsi sistem satelit Inmarsat, kata beliau pada taklimat untuk keluarga penumpang pesawat malang itu, di sini Selasa. Justeru, Affendi berkata soalan lanjut boleh dibangkitkan pada Rabu kerana pakar Inmarsat boleh memberi penjelasan yang lebih terperinci. Bagaimanapun, sidang video itu akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran media, kata beliau. Semalam, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata taklimat peringkat tertinggi akan diadakan untuk anggota keluarga penumpang warga China yang tiba di KL pada Ahad untuk memaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai misi pencarian MH370. "Yang akan memberi taklimat termasuk pakar antarabangsa yang tidak dapat hadir semasa taklimat di Beijing, termasuk pakar dari China. Ia juga akan disiarkan secara langsung kepada keluarga lain di Beijing," kata kenyataan itu. Anggota keluarga itu telah mendesak supaya mereka diberi taklimat olah pakar satelit dan pakar operasi mencari dan menyelamat (SAR). Turut hadir Pengarah Komersil Malaysia Airlines Dr Hugh Dunleavy. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 krew berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa pesawat berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. Operasi membabitkan pelbagai negara dikerah untuk mencari MH370, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di dua koridor - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand - dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi. Berdasarkan analisis terbaharu data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang melalui koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas kehilangan MH370 bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Operasi pencarian diteruskan di sana.