suria

Pakar Tempatan Sedia Terima Kehadiran Panda Gergasi China Pada April

Panda gergasi China, Fengyi dan Fuwa. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pegawai dan pakar tempatan telah bersedia untuk menerima kehadiran dua ekor panda gergasi dari negara China yang dijadual tiba di sini pada pertengahan April, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit berkata lapan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan empat pakar veterinar telah dihantar untuk menjalani latihan di Pusat Pemuliharaan dan Kawalan Penyakit Panda Gergasi Dujiangyan.
 
"Mereka dihantar untuk menerima latihan di pusat itu selama sebulan sepanjang tempoh panda itu dikurantin di situ sebelum pasangan panda dihantar ke Malaysia pada 15 April depan. 

 "Pakar daripada China juga akan ikut ke sini bersama panda itu, dan akan berada di sini selama sebulan bagi tujuan pemantauan bagaimana pakar dari negara kita menjaga haiwan itu," katanya.
 
Dawos berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) 2014 bagi kementeriannya di peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.
 
Berhubung isu perbelanjaan makanan panda, Dawos menjelaskan bahawa spesies buluh yang menjadi makanan panda wujud di sini, dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengambil langkah untuk memastikan bekalan daun buluh sentiasa ada sepanjang tempoh panda di sini. 

"Bahkan daun buluh dari negara kita juga dihantar ke pusat kurantin panda itu untuk melatih panda supaya biasa dengan daun buluh kita dan dimaklumkan panda itu suka dengan daun buluh itu," katanya. 

Beliau juga berharap supaya kepakaran pakar tempatan dalam penjagaan panda termasuk dari segi permanian beradas akan membolehkan pasangan panda yang diberi nama Fengyi (betina) dan Fuwa (jantan) dapat membiak dalam tempoh sepuluh tahun berada di Zoo Negara. 

"Kehadiran panda juga membolehkan kita menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi selain membangun dan melatih kepakaran tempatan," katanya.

Program konservasi antarabangsa panda gergasi itu juga merupakan simbol ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China dan perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada 15 Jun 2012.

Dawos juga yakin bahawa panda itu dapat menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Zoo Negara bagi melihat panda itu dengan lebih dekat, sebaik sahaja ia mula dipamerkan pada Mei ini. 

Persidangan bersambung pada Rabu.

Artikel Lain