SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai tentera berpangkat Mejar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Khamis atas tuduhan memperoleh rasuah RM50,000 daripada seorang pengurus besar, lapan tahun lepas. Dia didakwa memperoleh wang suapan itu, yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik isterinya, Rubiah Talib, sebagai upah kerana telah menyelia dan memantau kerja-kerja pemindahan barangan peralatan tentera. Tertuduh, Zainuddin Abu, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid. Zainuddin, yang bersara pada 2009, dibawa ke mahkamah dengan ambulans selain berkerusi roda kerana baru menjalani pembedahan prostat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM). Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang pernah bertugas sebagai Pegawai Staf 2 di Unit Perancangan, Cawangan Perancangan Pembangunan dan Operasi Bersama, Bahagian Logistik Pertahanan, ATM, didakwa memperoleh suapan tersebut daripada Pengurus Besar Syarikat Orion Shipping & Forwarding Sdn Bhd, Azrul Azmi Ahmad. Ia adalah sebagai upah kerana tertuduh telah menyelia dan memantau kerja-kerja pemindahan barang-barang peralatan tentera dari Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kem Kinrara, Puchong. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad Cawangan Pelabuhan Klang, Persiaran Raja Muda Musa, Klang, kira-kira pukul 3 petang pada 8 Mei 2006. Zainuddin didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lokman Kasim mencadangkan agar tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Zainuddin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia menanggung dua anak yang masih bersekolah serta sering berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Hakim M. Bakri membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.