PERTH: Data yang dikumpulkan selama enam jam menerusi misi sulung kenderaan dalam air automatik (AUV) Bluefin-21 pada Isnin telah diekstrak dan dianalisis. Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston berkata AUV itu yang dilengkapi dengan ciri keselamatan, kembali ke permukaan, selepas mencecah had kedalaman 4,500 meter. Houston, dalam kenyataan di sini pada Selasa berkata Bluefin-21 akan digerakkan semula, apabila cuaca mengizinkan. Operasi mencari memasuki hari ke-39 pada Selasa. Ketika mengumumkan penggunaan Bluefin-21 semalam, Houston menjelaskan setiap misi Bluefin-21 akan memakan masa sekurang-kurangnya 24 jam, termasuk empat jam untuk memuat turun serta menganalisis data yang dikumpul. Beliau juga berkata misi AUV berikutnya, antara lain, akan bergantung kepada analisis data yang dikumpul dalam misi pertama Bluefin-21 dilengkapi sistem pengesan sonar menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut dalam usaha mencari sebarang serpihan. AUV diturunkan dari kapal Ocean Shield semalam, ke kawasan 40 kilometer persegi bagi meneruskan misi pencarian MH370 di dasar laut, memandangkan tiada isyarat sah dikesan oleh alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) sejak Selasa lepas. Houston juga mengumumkan semalam tompokan minyak dikesan di kawasan sama empat isyarat dikesan TPL sebelum ini. Sementara itu, beliau berkata sembilan pesawat tentera, dua pesawat awam dan 11 kapal akan menyertai operasi hari ini bagi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370. Bagi kawasan pencarian visual, beliau berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang meliputi kawasan seluas 62,063 kilometer persegi, dengan pusat kawasan carian terletak kira-kira 2,170 kilometer ke barat laut Perth. "Ramalan cuaca hari ini angin timuran selatan dengan hujan dan ribut petir, keadaan laut berombak setinggi dua meter dan tahap penglihatan lima kilometer," katanya. Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi. Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai 'koridor selatan' dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".