suria

Anwar Masih Dolak-Dalih Isu Hudud

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berdolak-dalih mengenai pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung ketegasan PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Malah Penasihat PKR itu juga gagal memberi kata putus sama ada Ahli Parlimen PKR akan menyokong atau tidak usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan akan datang.

"Kita perlu dengar pendirian PAS dahulu. Menteri Besar Kelantan juga bersetuju untuk beri penerangan dan penjelasan terpeinci mengenainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Kenyataan Anwar itu dibuat sehari selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendirian bahawa parti itu tetap akan melaksanakan hudud sekali pun ditentang oleh DAP dan PKR, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun berkata, menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan baru-baru ini, PKR dan DAP berpendirian bahawa perlaksanaan hudud di Kelantan harus dilihat dalam konteks yang berbeza.

"Kita ambil pendirian bahawa langkah Kelantan itu (laksana huduh) harus dilihat secara berasingan.

"Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sebelum wujudknya muafakat Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut Anwar, malahan DAP juga konsisten dengan pendirian mereka menolak cadangan untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

"PKR dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini. Oleh itu, PAS dan PKR memberi pertimbangan khas mengenainya," katanya.

Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul berkenaan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, selewat-lewatnya Disember depan.

Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan tersebut dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.

Anwar Ibrahim, Hudud, Pakatan Rakyat, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain