suria

Pesawat MAS Ke Bangalore, India Patah Balik Ke KLIA Buat Pendaratan Cemas

Boeing 737-800 milik MAS yang serupa dengan model MH192 yang melakukan pendaratan cemas di KLIA pada awal pagi Isnin, 21 Apr 2014.

PETALING JAYA: Sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 yang sedang dalam perjalanan ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas salah satu rodanya tidak dapat berfungsi dengan sempurna ketika berlepas, berjaya mendarat dengan selamat pada jam 1.56 pagi Isnin.

MAS mengesahkan tentang kejayaan para juruterbangnya mendaratkan pesawat 737-800 itu dengan selamat menerusi laman tweeternya.

Sebelum itu, Pengurus Perhubungan Media dari Bahagian Komunikasi Strategik MAS, Khairunnisak Dzun Nurin telah mengeluarkan satu kenyataan segera yang menyebut bahawa pesawat berkenaan telah menyedari yang mekanikal pada bahagian roda kanannya telah mengalami kerosakan sebaik sahaja berlepas dari KLIA pada jam 10.09 malam Ahad.

Juruterbang pesawat berkenaan kemudiannya membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko dan berpatah balik ekoran masalah tersebut.

Pesawat berkenaan berlegar-legar selama beberapa jam di ruang udara KLIA bagi menghabiskan bekalan minyak sebelum mendarat untuk mengurangkan risiko malapetaka.

Mengikut jadual, MH192 dijadualkan tiba di Bangalore, India pada jam 11.35 malam Ahad.

Pesawat tersebut membawa 166 orang penumpang termasuk tujuh anak kapal.

Sementara itu Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Hishammuddin Tun Hussein berkata menerusi tweetnya: 'Semuanya selamat mendarat - dalam perjalanan ke sana sekarang!!'


Penerbangan Malaysia, MAS, MH192

Artikel Sebelum

Artikel Lain