PERTH: Liputan media berhubung pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 menurun dengan ketara selepas operasi mencari peringkat multinasional itu masuk hari ke-45 dan masih gagal menunjukkan sebarang hasil. Khemah media kelihatan berkurangan, demikian juga kelengkapan dan kenderaan yang biasanya diletakkan dekat Dumas House, di sini, di mana Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) biasa mengadakan sidang akhbar, atau di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook, kira-kira 40 minit pemanduan dari Perth. Selain maklumat harian terkini menerusi kenyataan di laman web atau e-mel rasmi pegawai JACC, tidak ada sidang akhbar dibuat sejak seminggu lalu. Seorang pegawai media RAAF yang enggan dinyatakan namanya memberitahu wartawan Malaysia yang lain bahawa petugas media tidak lagi dibenarkan memasuki pangkalan itu untuk liputan berita sejak minggu lalu. Untuk operasi pencarian harian secara visual, kata pegawai wanita itu, ia diteruskan seperti biasa sebagaimana yang diberitahu oleh JACC pada pagi Isnin. Fokus sekarang terhadap operasi di bawah laut melibatkan Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) dipanggil Bluefin-21, yang ditugaskan sejak Isnin lalu. Bagaimanapun, ini juga tidak menghasilkan sesuatu yang membawa kepada penemuan pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pagi 8 Mac lalu. Pada Sabtu, pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Bluefin-21 dijangka menyelesaikan tugas imbasan di zon pencarian dalam air minggu depan. Perdana Menteri Australia Tony Abbott juga membayangkan baru-baru ini tentang perlunya mempertimbangkan kembali operasi mencari dan menyelamat jika tidak terdapat perkembangan terbaru. Pihak media di sini menjangka satu sidang akhbar akan diadakan dalam masa terdekat.