PUTRAJAYA: Kaedah penilaian bagi urusan pengambilan guru ditambah baik dan dipertingkat bagi memastikan hanya yang terbaik antara yang terbaik sahaja yang dilantik ke profesyen itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata sistem pemarkahan temu duga juga tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik calon sebaliknya calon dinilai secara holistik dengan turut mengambil kira aspek sahsiah dan potensi diri calon. "Walaupun kadang kala terpaksa menggunakan kaedah yang sukar dalam urusan pemilihan dan pelantikan anggota perkhidmatan pelajaran, saya yakin usaha ini akan memberi banyak kelebihan sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek," katanya ketika merasmikan Wacana Intelek, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Khamis. Entulu berkata kerajaan sebelum ini memperkenalkan beberapa langkah termasuk mengetatkan syarat pengambilan guru dengan hanya memberi tawaran kepada mereka yang berada dalam kelompok 30 peratus pelajar terbaik, dalam usaha meningkatkan prestij profesyen itu. Sehubungan itu katanya, SPP mengambil langkah untuk turut terlibat dalam Ujian Kelayakan Calon Guru dan urusan temu duga kemasukan pelajar ke Institut Pendidikan Guru Malaysia. Mengenai majlis itu, Entulu berkata ia merupakan satu daripada inisiatif dalam pelan transformasi SPP bagi mendedahkan anggota SPP dan warga pendidik dengan informasi terkini agar mereka dapat melengkapkan diri dalam memenuhi ekspektasi kerajaan. Beliau berkata ia juga dapat menjadi wadah kepada semua bagi mengkaji dan membuat penilaian serta pelaksanaan dasar-dasar sedia ada seterusnya merancang penambahbaikan yang perlu. Bagi siri pertama ini tajuk 'Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Suatu Tinjauan Menyeluruh' dipilih sebagai memberi pendedahan kepada anggota-anggota SPP dan warga pendidik yang merupakan agen pelaksana pelan berkenaan supaya lebih memahami dan menghayati aspirasi pelan itu, katanya. Majlis itu dihadiri kira-kira 350 pengetua dan guru besar dari Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.