Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini menunjukkan kesediaan kerajaan melalui badan penguatkuasaan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana persatuan yang melanggar perundangan negara.
Walaupun rakyat dibenar berpersatuan, namun kerajaan tidak akan berlembut sekiranya mereka menyalahgunakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu, katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar di Dewan Negara di sini Khamis.
Abdul Rahman ingin tahun jumlah persatuan haram yang wujud serta tindakan yang sedang dan akan diambil kerajaan bagi menghalang mereka bergerak aktif.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata tindakan pengharaman itu dibuat setelah mendapati kumpulan berkenaan menyeleweng daripada tujuan asal pertubuhan, antaranya tidak menjaga kebajikan dan sosial anggotanya serta menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam.
Menurutnya, kementerian melalui JPPM sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan bernotis dan tidak bernotis secara berkala terhadap pertubuhan yang berdaftar dengan jabatan itu.
"Selain itu, JPPM juga membuat pemantauan dan menjalankan operasi bersepadu bersama pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ke atas pertubuhan tidak berdaftar hasil aduan, risikan dan maklumat lain yang diterima," katanya.