suria

Pusat Pemeriksaan Woodlands, Tuas Dijangka Sesak 1 Mei ini

Kesesakan di ICA Woodlands

SINGAPURA: Trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas sempena cuti umum Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Dalam kenyataannya, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksan (ICA) berkata jumlah kenderaan di dua pusat pemeriksaan itu dijangka bertambah daripada biasa mulai Rabu (30 April) dan akan berterusan hingga Ahad (4 Mei).

ICA berkata trafik melalui pusat pemeriksaan itu dalam tempoh tersebut dijangka sesak, terutama pada 30 April dan 1 Mei.

Ini kerana 1 Mei juga adalah cuti umum di Malaysia dan bersambung dengan hari kelepasan hujung minggu di Johor pada Jumaat.

Bagi ketibaan, ICA berkata trafik di dua pusat pemeriksaan itu dijangka sesak teruk pada 4 Mei.

Mereka yang meninggalkan Singapura dinasihati tidak berjalan kaki melepasi Pusat Pemeriksaan Woodlands pada waktu puncak, tetapi menggunakan kenderaan awam, manakala pemandu kenderaan pula digalak menggunakan Link Kedua untuk membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Berikutan pemeriksaan keselamatan yang perlu dilalui, kesesakan trafik tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak orang menggunakan pusat pemeriksaan berkenaan secara serentak.

Untuk mengelak kesesakan manusia dan kenderaan di dua pusat pemeriksaan darat itu, orang ramai dinasihati merancang perjalanan mereka dengan sebaik mungkin.


Artikel Berikut

Artikel Lain