suria

Pemilihan PKR: Tipu Undi Dedah Kelemahan Calon, Parti

SHAH ALAM: Isu manipulasi undi pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini semakin meruncing apabila kepemimpinan parti itu tampil mendesak supaya tindakan tegas dikenakan terhadap calon yang didapati terbabit.

Senario tidak sihat yang dikaitkan dengan calon dan penyandang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali ini dikesan apabila ada dakwaan berlaku 'blackout' ketika proses pengiraan undi di Cabang Batang Sadong, Sarawak.

Mengikut rekod, perkara seperti ini pernah berlaku pada pemilihan parti 2010 dan dilaporkan kepada JPP. Bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.

Kejadian terbaharu ini turut mencetuskan kemarahan ramai dan mendorong Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menjalankan siasatan selepas menerima aduan pelbagai pihak.

Gesaan sama dikemukakan calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendesak Biro Politik parti supaya tidak berkompromi dengan mana-mana calon yang terbabit.

"PKR dan Pakatan Rakyat kecewa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) parti kerana tidak telus dalam pilihan raya. Jadi, JPP kena buat kajian dengan betul," katanya di Bangunan SUK di Shah Alam, Rabu.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan JPP mengenai insiden tersebut.

"Saya mesti dapatkan laporan yang tepat tentang perkara ini (blackout). Malah calon lain patut dimaklumkan mengenai situasi sebenar pada ketika itu," katanya.

Pada Ahad, pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak JPP membatalkan pencalonan Azmin dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua PKR ekoran dakwaan memanipulasi undi.

Susulan itu, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul pada Isnin mengesahkan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik ketika pemilihan di Cabang Batang Sadong.

Sementara itu, di PETALING JAYA, Badrul Hisham yang juga Ketua Cabang PKR Rembau, mendakwa penipuan yang berlaku dalam proses pemilihan peringkat cabang sengaja dibuat untuk memenangkan calon tertentu.

Beliau yang dikenali sebagai Chegubard berkata, penipuan tersebut dilakukan kumpulan penyokong Azmin.

“Saya bersama rakan penyokong reformasi menghantar memorandum bantahan dan laporan penipuan kepada wakil JPP untuk tindakan lanjut.

“Kita tahu ada pengawas di tempat pengundian yang cuba memanipulasi undi untuk memenangkan calon tertentu. Justeru, kita harap JPP akan menyiasat dakwaan salah laku yang kita kemukakan ini dan akan mengambil tindakan segera ke atas pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” katanya kepada mStar Online.


Artikel Lain