suria

Dadah 107 KG, Nilai RM20 Juta Catat Rampasan Terbesar Di KLIA

Chik Omar Chik Lim (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di KLIA.

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan tiga percubaan penyeludupan dadah ke negara ini dari Nigeria membabitkan 107.2 kilogram methamphetamine bernilai RM20.368 juta dalam tempoh 15 April hingga 28 April lalu.

Pengarah JKDM KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata rampasan terbesar DADAH dalam sejarah JKDM KLIA itu cuba diseludup melalui kargo udara, menjadikan jumlah rampasan dadah bagi tahun ini sehingga bulan ini sebanyak 233.29 kilogram dengan nilai RM40.45 juta.

"Kejayaan ketiga-tiga kes ini adalah berasaskan maklumat risikan dan tindakan pemantauan yang lebih rapi ke atas konsaimen yang tiba dengan berpandukan kepada kes yang terdahulu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Chik Omar berkata bagi kes pertama pada 15 April lalu, hasil pemeriksaan terhadap satu kotak yang tiba di gudang Mas Kargo KLIA dari Lagos, Nigeria pukul 8.20 malam mendapati barang yang diikrar sebagai 'hair attachment' itu positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata dagangan yang dibawa masuk dengan menggunakan 10 paket yang dibalut dengan plastik berwarna hitam itu mempunyai berat kasar sebanyak 48 kilogram dan bernilai RM9.12 juta.

Chik Omar berkata dua lagi kes pada Isnin lalu melibatkan dua lagi bungkusan yang juga tiba dari Lagos pada pukul 6 petang dan 8 malam, kedua-duanya merupakan kotak yang diisi dengan 19 paket makanan bijirin.

Beliau berkata bagi bungkusan pertama, pemeriksaan lanjut mendapati hanya dua paket sahaja diisi makanan bijirin manakala selebihnya mengandungi kristal jernih yang diuji positif dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 30.35 kilogram dan bernilai RM5.766 juta.

Bagi bungkusan kedua pula, 16 paket mengandungi kristal jernih yang juga positif dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 28.85 kilogram dan bernilai RM5.481 juta, katanya.

Chik Omar berkata sehingga kini tiada tangkapan dibuat kerana bungkusan tersebut masih belum dituntut, malah pemeriksaan ke atas alamat bungkusan itu dihantar juga didapati tidak wujud.

Beliau berkata usaha masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik dagangan tersebut berdasarkan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pentadbiran penguatkuasaan Dadah (DEA), dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

"Dadah yang dirampas ini adalah jenis tulen, jika diproses nilainya dipercayai lebih tinggi. Kami juga masih mengenal pasti sama ada rakyat tempatan terlibat dalam sindiket ini, dan pemeriksaan lebih teliti akan dibuat terhadap barangan yang datang dari Lagos," katanya.


Dadah, KLIA, Nigeria, Kastam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan