Eksklusif PETALING JAYA: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mendedahkan seramai hampir 4,000 remaja memohon untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara sukarela setiap tahun dan jumlah itu mengatasi bilangan peserta yang tidak hadir. Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, walaupun pihaknya menerima permintaan yang memberangsangkan sejak tahun 2009 namun pihaknya mengehadkan pengambilan tambahan tersebut bergantung kepada kekosongan yang terdapat di setiap kem seluruh negara. "Setiap tahun kita menerima sekitar 3,000 hingga 4,000 permohonan secara sukarela untuk menyertai PLKN. Namun kita hanya dapat menerima seramai 2,000 orang yang terpilih sahaja. "Kita akan cuba yang terbaik untuk menempatkan mereka. Kebanyakan yang memohon bukan sahaja benar-benar meminati modul PLKN, tetapi ada juga ibu bapa yang memberi dorongan kepada anak mereka agar menyertainya," katanya kepada mStar Online dan The Star selepas melakukan kunjungan mesra ke Menara Star di sini pada Rabu. Abdul Hadi turut meluangkan masa berbual dengan penyunting di meja berita akhbar The Star. Beliau berkata, seramai 2,000 peserta yang terpilih akan hanya dibenarkan menyertai sesi pertama setiap tahun. Jelasnya, pada setiap tahun kira-kira 150,000 remaja mengikuti PLKN. "Kita juga mengenakan penalti kepada mereka yang gagal hadir tanpa sebab yang munasabah. Hal ini kerana, JLKN menyediakan kemudahan pengangkutan yang terbaik untuk mengambil peserta PLKN dari kampung dan membawa mereka terus ke kem terlibat," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi berkata, kos bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kem PLKN akan ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha kem tersebut. "Sekiranya pemilik kem tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, kita akan menamatkan kontrak mereka. Sejak 2001, sebanyak 13 pengusaha kem telah ditamatkan kontrak kerana gagal mematuhi spesifikasi infrastruktur dan melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh JLKN," katanya. Pada Selasa, Abdul Hadi dilaporkan berkata pemasangan CCTV itu adalah sebagai langkah keselamatan dan setiap pengusaha kem perlu melakukan semua kerja menaik taraf kemudahan tersebut sebelum pertengahan 2015. Antara lokasi yang perlu diletakkan CCTV ialah di pintu masuk bilik kediaman, dewan makan dan beberapa kawasan yang telah ditentukan. Pemasangan CCTV merupakan syarat dalam jadual pematuhan 2014 untuk kerja-kerja menaik taraf kem berkenaan.